17 FEB : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal mercun dan bunga api di negara ini bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM bertanggungjawab mengawal pengimportan, penjualan, penyimpanan dan permainan mercun juga bunga api selaras Akta Bahan Letupan 1957, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Pendekatan pengawalan yang dilaksanakan oleh PDRM adalah atas faktor ketenteraman awam dalam memastikan keselamatan masyarakat diutamakan.
“Langkah ini juga untuk mengelakkan sebarang risiko kecederaan, kebakaran dan gangguan komuniti yang sering dikaitkan dengan pembakaran mercun secara tidak terkawal.
“Orang ramai juga diseru supaya terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang dalam memastikan sambutan Tahun Baharu Cina diraikan dalam suasana harmoni dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mercun dikategorikan sebagai bahan letupan di bawah Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957 kerana komponennya merangkumi bahan yang boleh meletup atau menghasilkan bahan kimia yang menghasilkan bunyi letupan, cahaya, asap atau gabungan kesan visual serta bunyi.
Menurutnya, sebanyak 45 jenis bunga api iaitu ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan oleh menteri di bawah Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025.
Namun beliau menegeaskan kebenaran itu masih tertakluk kepada permit yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah berkaitan serta perlu mematuhi spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.
Selain itu, katanya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan berkaitan bahan letupan.
“Antara peruntukan yang boleh dikenakan termasuk Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan kesalahan menyebabkan letupan yang boleh membahayakan nyawa atau harta, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
“Selain itu, Seksyen 7 Akta sama melibatkan kesalahan memiliki, mengawal, menggunakan atau mengendalikan bahan letupan dengan niat membahayakan nyawa atau harta, yang turut memperuntukkan hukuman sama.
“Seksyen 8 pula melibatkan kesalahan membuat atau memiliki bahan letupan bagi tujuan yang tidak sah di sisi undang-undang dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Selain itu, di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, kesalahan memasang bunga api juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya.