17 FEB : Tarique Rahman secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Bangladesh pada Selasa menandakan permulaan era baharu demokrasi negara itu.
Majlis angkat sumpah berlangsung di Parlimen Kebangsaan Jatiya Sangsad di Dhaka dan disiarkan secara langsung disaksikan Presiden, Mohammed Shahabuddin serta pemimpin dan wakil dari pelbagai negara.
Terdahulu, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) memilih Tarique, anak kepada bekas Perdana Menteri Begum Khaleda Zia dan bekas Presiden Ziaur Rahman sebagai ketua parti parlimennya.
Kabinet pimpinan Tarique terdiri daripada 49 anggota termasuk 25 menteri bertaraf Kabinet dan 24 menteri negara yang turut mengangkat sumpah dalam upacara bersejarah itu.
BNP menang besar dalam pilihan raya Parlimen pada 12 Februari lalu sekali gus kembali berkuasa selepas dua dekad.
Tarique sebelum ini hidup dalam buangan di Britain selama 17 tahun sebelum pulang ke Bangladesh pada Disember tahun lalu.
Beliau mengambil alih kepimpinan parti secara rasmi selepas kematian ibunya, Khaleda Zia pada 30 Disember lalu selepas mengalami sakit berpanjangan dan persaingan politik sengit dengan seteru utamanya, Sheikh Hasina.