19 FEB : Kerajaan akan melaksanakan 1,898 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelbagai barangan basah dan kering yang menjadi keperluan untuk persiapan berbuka puasa termasuk bagi membuat kuih muih akan ditawarkan pada PJRM.
Menurutnya, ia bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah.
“Sepanjang sebulan Ramadan, sudah pasti berlaku perubahan terhadap corak perbelanjaan sebahagian besar rakyat khususnya umat Islam. Selain membeli juadah berbuka di bazar Ramadan, ramai juga akan memilih untuk menyediakan juadah berbuka di kediaman masing-masing.
“Selain juadah berbuka puasa, bulan Ramadan ini juga masyarakat kita akan mulakan persiapan untuk menyambut Syawal dengan membuat pelbagai jenis biskut dan kuih tradisi khususnya. Perbelanjaan pastinya akan bertambah. Maka, program intervensi seperti PJRM amat penting, sebagai pilihan mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.
“Sehubungan itu, KPDN akan menganjurkan sebanyak 1,898 siri PJRM di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan. Keseluruhan siri PJRM ini turut menawarkan barangan basah dan kering yang menjadi keperluan untuk persiapan berbuka puasa termasuk bagi membuat kuih muih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Meski inisiatif itu tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan sepanjang Ramadan namun katanya PJRM boleh menjadi salah satu platform dan pendekatan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta menyantuni keperluan komuniti khususnya golongan yang memerlukan.
“Adakah PJRM menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat? Sudah pastinya ia bukan satu-satunya penyelesaian, tetapi salah satu mekanisme intervensi.
“Di bawah Kerajaan Madani, strategi dan pendekatan menangani isu kos sara hidup melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melibatkan dua komponen penting iaitu menstabilkan pergerakan harga barang dan perkhidmatan serta meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan yang meluluskan peruntukan khusus sejak beberapa tahun ini untuk menginstitusikan PJRM sebagai salah satu inisiatif menangani kos sara hidup.
Bermula tahun 2025, KPDN menyediakan Takwim PJRM yang boleh diakses di laman sesawang kementerian untuk membolehkan rakyat mendapatkan maklumat tarikh dan lokasi PJRM di sekitar mereka melalui pautan https://pjrm.kpdn.gov.my
