19 FEB : Bekas Presiden, Yoon Suk Yeol dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah mengetuai pemberontakan ketika cuba meletakkan negara itu di bawah undang-undang tentera pada Disember 2024.
Hakim Mahkamah Korea Selatan, Ji Gwi-yeon menolak permohonan pendakwa raya yang sebelum ini menuntut hukuman mati terhadap Yoon atas peranannya dalam insiden tersebut.
Menurut Gwi-yeon, mahkamah mengambil kira faktor umur Yoon, ketiadaan rekod jenayah serta hakikat bahawa beliau tidak terlibat secara langsung dalam sebarang keganasan fizikal.
“Namun, beliau secara langsung merancang dan mengetuai jenayah yang melibatkan ramai pihak serta menyebabkan kos sosial yang besar.
“Selain itu, beliau tidak menunjukkan sebarang rasa kesal atau permohonan maaf,” katanya.
Selain itu, bekas Menteri Pertahanannya, Kim Yong-hyun dijatuhi hukuman penjara 30 tahun kerana peranannya dalam krisis itu.
Yoon, 65 sebelum ini mengumumkan darurat tentera dengan alasan mahu menyingkirkan apa yang disifatkannya sebagai ‘anasir antinegara’ dalam Perhimpunan Kebangsaan.
Namun, tindakan tersebut membawa kepada pemecatan, penahanan serta pelbagai pertuduhan jenayah termasuk menghalang proses keadilan.
Bulan lalu, isterinya, Kim Keon Hee turut dijatuhi hukuman penjara 20 bulan atas kes rasuah.