19 FEB : Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Noor Ruwena Md Nurdin dilantik mengetuai Mahkamah Tinggi Rasuah Khas Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa 1 April depan.
Arahan Pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi Malaya itu dimaklumkan dalam Pekeliling Bilangan 3/2026 yang ditandatangani Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah dan disiarkan di laman sesawang Badan Peguam Malaysia.
Selain itu, pekeliling tersebut turut memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Aslam Zainuddin akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, manakala Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Noor Hisham Ismail akan menggantikan beliau di Shah Alam.
“Semua hakim perlu menyelesaikan semua kes yang sedang didengar sebelum Perintah Pertukaran ini berkuat kuasa.
“Sekiranya tidak dapat diselesaikan, senarai kes sambung bicara itu perlu dikemukakan kepada saya untuk arahan dengan menyatakan peringkat perbicaraan kes-kes itu.
“Pegawai Pengurus Pusat Tanggungjawab yang terbabit hendaklah mengemukakan Penyata Perubahan (Kew 8) berkaitan dengan Arahan Penempatan ini kepada pihak yang berkenaan,” menurut pekeliling itu.
Menurut Hashim perintah pertukaran tersebut sudah mendapat kelulusan Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Pada 20 Januari lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mengumumkan penubuhan Mahkamah Tinggi Rasuah Khas bagi mendengar kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Rasuah Khas.
Langkah itu mendapat kelulusan Ketua Hakim Malaya dan Ketua Hakim Negara.
Penubuhan mahkamah khas berkenaan menyusuli titah diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 19 Januari lalu.
Titah baginda, terdapat keperluan untuk melantik hakim berpengalaman serta mewujudkan laluan khusus bagi menyegerakan penyelesaian terhadap kes-kes rasuah.
Setakat ini, terdapat 14 Mahkamah Sesyen Rasuah Khas yang beroperasi di seluruh negara dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran.