Tiada halangan bina rumah ibadat tapi ikut peraturan
19 FEB : Kerajaan tiada halangan terhadap sebarang kegiatan agama mahupun pembinaan rumah ibadat di negara ini namun ia mesti mengikut peraturan yang sudah ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak terbabit tidak boleh sesuka hati ‘memacak’ binaan di mana-mana sahaja.
‘Saya terlibat juga dalam kegiatan-kegiatan dakwah dulu. Buatlah dakwah, tiada sekatan sama sekali. Tapi ikutlah peraturan. Itu sahaja yang kita minta. Saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik.
“Sepertimana kuil-kuil Hindu, sembahyang la sebanyak mana dia nak pun, buatlah kuil mana pun, tapi ikut peraturanlah. Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana tempat saja, tak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya’ Ramadan, hari ini.
Namun katanya, isu sensitif itu perlu ditangani sebaiknya dengan penguatkuasaan yang telus.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan kononnya pembinaan surau juga merata tempat dan tidak mengikut peraturan.
Malah katanya, terdapat surau tidak mengikut peraturan yang dirobohkan di Perak sebelum ini.
“Jadi saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik,” katanya.
Anwar sebelum ini memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi keizinan supaya ‘membersihkan’ rumah ibadat yang dibina tidak mengikut peraturan.