‘Had tempoh jawatan PM akan bermula dengan saya’
20 FEB : Cadangan pindaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan terpakai untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu jika ia diluluskan di Parlimen pada sidang akan datang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tidak akan membuat undang-undang untuk orang lain.
“Ia bermula dengan sayalah. Saya tidak akan membuat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai kepada saya dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tempoh 10 tahun itu memadai untuk seorang Perdana Menteri menjalankan amanah dan melepaskan jawatan itu kepada calon lain.
“Kita cadangkan supaya dapat segerakan tempoh jawatan PM 10 tahun.
“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun itu cukup…memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia melepaskan untuk rakan-rakan yang lain meneruskan khidmat. Itu pandangan kita,” katanya.
Menurutnya, jika mendapat sokongan, pindaan itu akan diluluskan pada sidang Parlimen akan datang.
“Kita minta segerakan dan kalau ada konsensus, majoriti ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang,” katanya.
