20 FEB : Malaysia menantikan kerjasama erat dengan kepimpinan baharu Bangladesh bagi memperkukuh serta mengangkat hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat itu disampaikan melalui perbualan telefon dengan Perdana Menteri Bangladesh yang baharu, Tarique Rahman.
“Semoga hubungan persahabatan Malaysia dan Bangladesh terus diperkukuh demi manfaat bersama kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas berhubung dengan Tarique melalui panggilan telefon, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Tarique yang diberi manfat besar pada Pilihan Raya Parlimen ke-13, baru-baru ini.
Beliau turut menzahirkan penghormatan kepada rakyat Bangladesh atas kematangan mereka mempertahankan proses demokrasi yang berlangsung secara aman dan teratur.
Anwar juga menjemput Tarique untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada masa yang sesuai sebagai langkah memperkukuh lagi hubungan persahabatan serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.