23 FEB : Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN), berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang diadakan di ibu pejabat PAS pada Ahad.
Menurutnya, tiada sebarang ketetapan dalam Perlembagaan jawatan itu perlu diisi seorang presiden.
“Tidak perlu pada presiden parti ke ataupun timbalan presiden, dalam perlembagaan kita. Jadi atas dasar itu PAS berpandangan dengan kelebihan-kelebihan yang ada terhadap Dr Samsuri.
“Beliau sebagai seorang Menteri Besar sudah dua penggal di Terengganu. Beliau juga telah menunjukkan satu prestasi yang cukup baik dalam pilihan raya umum ke-15 dan juga pilihan raya negeri di Terengganu dengan memenangi semua kerusi atas tiket Perikatan Nasional.
“Jadi itu antara beberapa kriteria kenapa Pas memilih Yang Amat Berhormat Dr Samsuri sebagai wakil Pas untuk menerajui Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” katanya.
Selain itu, mesyuarat tersebut turut bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Pengerusi PN.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya pada 30 Disember lalu yang berkuat kuasa 1 Januari 2026.