24 FEB : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan yang mengaitkan kewujudan ‘mafia korporat’ dengan suruhanjaya itu.
Badan penguat kuasa itu menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.
Dalam satu kenyataan, SPRM berkata tuduhan itu tidak berasas dan dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian tanpa identiti pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.
“SPRM menolak sepenuhnya dakwaan-dakwaan tanpa asas yang dibangkitkan. SPRM memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut agensi itu, isu yang dikitar semula itu sengaja dimainkan kembali bagi mencemarkan imej serta reputasi SPRM.
“Penyebaran tuduhan tanpa asas daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan.
“Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).