25 FEB : Mana-mana pembinaan rumah ibadat di Pahang wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Titah baginda, pematuhan itu penting bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.
Baginda bertitah membina rumah ibadat tanpa melalui saluran yang sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama.
“Undang-undang ini bukan untuk menyekat, bukan juga untuk menindas, tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” titah baginda melalui Portal Rasmi Istana Pahang, hari ini.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera.
Sementara itu, baginda juga bertitah, mana-mana pihak yang bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk peraturan boleh menimbulkan kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah baginda.
Tegas baginda, Pahang memerlukan ketertiban dan bukan tindakan terburu-buru yang mengundang sengketa.
Baginda turut menyeru pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memperjelaskan prosedur serta memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.
Dalam masa sama, rakyat turut diingatkan supaya bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan negeri.

*FOTO : KESULTANAN PAHANG