Pusat data pertama Google di Malaysia dijangka jana RM12.43 bilion
26 FEB : Pusat data dan perkhidmatan awan Google pertama di Malaysia dijangka menjana sehingga AS$3.2 bilion atau RM12.43 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkat ia juga dijangka mampu mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.
“Pelaburan strategik ini adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara.
“Ia selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan panggilan sidang video bersama, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet & Google, Ruth Porat, hari ini.
Menurutnya, pusat data dan perkhidmatan awan Google itu melibatkan pelaburan AS$2 bilion Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau dimaklumkan pelaburan itu bergerak melangkaui jangkaan awal.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan pelaburan ini bergerak dengan kemajuan yang memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyediakan platform sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Dalam semangat ini, saya mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA