Kabinet putuskan ART lepas Menteri MITI bincang dengan AS
27 FEB : Malaysia akan berhubung dengan menteri dari Amerika Syarikat (AS) berkait implikasi keputusan mahkamah yang memutuskan tarif timbal balik Presiden Donald Trump tidak berperlembagaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata sebarang keputusan lanjut berkait keputusan mahkamah AS dan tarif baharu diumum Trump akan dibuat selepas perbincangan dijalankan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah menyampaikan maklumat terkini. Beliau memaklumkan akan berhubung dengan rakan sejawat dari AS pada minggu depan mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media mingguan, hari ini.
Minggu lalu, Mahkamah Agung AS memutuskan tarif timbal balik diperkenalkan Trump tidak sah selain beliau tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang AS untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral.
Tahun lalu, Malaysia memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS namun ia masih diratifikasi.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi hasil lawatan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ke Malaysia.
“Pelbagai perkara dibincangkan termasuk isu-isu membabitkan perkara seperti air dan isu yang sedang diuruskan dalam siri perbincangan di antara kepimpinan dua-dua negara,” katanya.
Selain itu kata Fahmi, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta lebih ramai menteri turun padang bagi mendengar taklimat pembangunan daerah demi memastikan isu-isu pembangunan di peringkat daerah diberikan keutamaan.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA