27 FEB : Perdana Menteri meluangkan masa hampir 15 minit menyantuni tujuh pemuda yang tular membantu tiga beranak terlibat nahas di Tasik Biru di Kundang, Selasa lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar sendiri pengalaman mereka bertindak pantas yang berjaya menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil apabila kenderaan dipandu terjunam ke tasik tersebut.
Beliau memuji keberanian serta keprihatinan tujuh pemuda tersebut dan menyifatkan tindakan itu contoh nilai kemanusiaan tinggi serta semangat tanggungjawab sosial yang wajar dicontohi masyarakat.
Sesi itu berlangsung pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyampaikan sumbangan kepada mereka sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan tindakan pantas menyelamatkan mangsa.
Mereka adalah Mohd Shahrizal Jarami, 40; Mohamad Fahmi Ismail, 33; Adam Syah Reza Hendri, 19; Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23; Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, 23; Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, 23 dan Hariz Ismat Ruzaiizan, 26.
Selasa lalu, kenderaan dinaiki seorang ibu bersama dua anak kecil terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik tersebut.
Namun tindakan pantas tujuh pemuda tersebut berjaya menyelamatkan kesemua mangsa di mana mereka membentuk ‘rantai manusia’ untuk bersama-sama menarik tiga beranak terbabit itu ke tebing.
Kisah itu tular selepas klip video kejadian itu dimuat naik ke media sosial.
Pada majlis dihadiri lebih 350 hadirin itu, 10 penggiat dan veteran media turut menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.
