27 FEB : Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam banjir dan tanah runtuh di Minas Gerais, Brazil.
Perkara itu disahkan Kedutaan Besar Malaysia di Brazil melalui satu kenyataan pada Khamis.
“Kedutaan Besar Malaysiadi Brasília ingin memaklumkan kepada semua warganegara Malaysia bahawa hujan lebat di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil telah menyebabkan kejadian banjir teruk dan tanah runtuh.
“Setakat maklumat terkini, tiada warganegara Malaysia dilaporkan terjejas akibat kejadian tersebut,” menurut kenyataan itu.
Justeru itu, kedutaan menasihatkan warganegara Malaysia yang berada di Brazil supaya mengehadkan pergerakan dan mengelakkan kawasan yang berisiko tinggi.
Selain itu mereka juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan serta nasihat keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa dan memantau perkembangan terkini melalui saluran berita dan rasmi tempatan.
Warganegara Malaysia di negara itu digalakkan untuk mendaftar keberadaan mereka menerusi sistem E-Konsular https://ekonsular.kln.gov.my .
Menurut kedutaan itu lagi, melalui laporan dan amaran pihak berkuasa tempatan, hujan lebat di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh yang teruk.
“Sehingga kini, angka korban telah meningkat kepada 30 orang dengan 39 mangsa dilaporkan masih hilang.
“Pihak kami akan terus memantau perkembangan situasi ini secara dekat dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya perlu,” kata kedutaan itu.
Bagi warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera boleh berhubung dengan kedutaan menerusi talian +55 (61) 3248 5008, e-mel : mwbrasilia@kln.gov.my / br.cons@kln.gov.my