28 FEB : Tentera Israel dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, hari ini.
Serangan itu mencetus letupan kuat di sekitar ibu kota Tehran sekali gus menambah ketegangan ketenteraan di Asia Barat.
Menteri Pertahanan rejim zionis itu, Israel Katz dilaporkan berkata serangan itu bagi menghapuskan ancaman terhadap Israel susulan kebimbangan berterusan terhadap program nuklear serta pembangunan peluru berpandu Iran.
Perkembangan itu berlaku ketika pentadbiran Presiden AS, Donald Trump memberi isyarat akan menggunakan kekerasan jika rundingan nuklear gagal mencapai kesepakatan.
Laporan media Iran menyebut serangan itu mensasarkan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan beberapa lokasi di tengah Tehran.
Susulan itu, IRGC mengumumkan sudah melancarkan serangan balas terhadap Israel menggunakan dron dan peluru berpandu.
Sebagai tindak balas, Iran telah menutup sepenuhnya ruang udara negara itu bagi semua penerbangan awam.