Serangan terhadap Iran, Malaysia gesa hentikan permusuhan
28 FEB : Malaysia menggesa segala permusuhan perlu dihentikan tanpa syarat susulan serangan terbaharu Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketegangan yang memuncak boleh menjerumus Asia Barat ke ambang malapetaka.
Beliau menyifatkan tindakan serangan itu sebagai satu ‘cubaan keji’ untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung serta mengheret negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil untuk dibendung.
“Menghentikan segera dan tanpa syarat segala permusuhan adalah amat penting.
“Serangan Israel terhadap Iran, serta tindakan ketenteraan AS yang mengiringinya, membawa Asia Barat ke jurang malapetaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Anwar menggesa semua pihak khususnya AS dan Iran agar lebih mengutamakan diplomasi berbanding peningkatan ketenteraan selanjutnya.
“Saya menggesa AS dan Iran supaya mencari jalan diplomatik untuk meredakan keadaan dan bukannya terus meningkatkan ketegangan, serta komuniti antarabangsa supaya bertindak segera tanpa mengamalkan sikap berat sebelah,” katanya.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang kini berada di Iran dan di kawasan lain di rantau itu ketika ketegangan terus memuncak.
“Saya akan berhubung dengan rakan serantau mengenai langkah seterusnya dalam perkara ini,” katanya.