2 MAC : Iran bertegas tidak akan berunding lagi dengan Amerika Syarikat (AS) selepas serangan yang mengorbankan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, semalam.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Iran, Ali Larijani menyebut ketegasan itu dalam satu kenyataan di X sekali gus menepis laporan media barat kononnya terdapat usaha rundingan baharu antara negara tersebut.
Laporan itu mendakwa Ali cuba menghidupkan semula rundingan nuklear melalui perantara Oman.
Ali menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas sambil menegaskan pendirian Iran kekal teguh untuk tidak berurusan dengan Washington.
Beliau turut menyelar Presiden Donald Trump dan menuduh pemimpin itu menggadai nyawa tentera AS demi kepentingan Israel.
Selain itu, beliau mengingatkan tindakan Trump akan menyebabkan rakyat dan tentera AS menanggung akibatnya.
Tegasnya, Iran akan terus mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk pencerobohan.