Parlimen Malaysia kutuk serangan Israel-AS terhadap Iran
2 MAC : Parlimen Malaysia mengutuk keras serangan biadab rejim zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
Solidariti itu melangkaui blok kerajaan dan pembangkang yang mengetepikan perbezaan politik untuk rakyat dan negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ia sebagai manifestasi jelas bahawa Malaysia tidak berkompromi dalam soal maruah, kedaulatan, dan kemerdekaan sesebuah negara.
“Ia menyentuh perasaan saya apabila melihat kita boleh berbeza pendapat dalam banyak hal, tetapi dalam soal kedaulatan dan kemaslahatan bersama, tidak ada perbezaan. Ini petanda baik bagi negara kita.
“Kita sedar, apabila kita memberanikan diri menyatakan yang hak, pertahankan kebenaran dan keadilan, kita mungkin mengundang sedikit sebanyak masalah selain masalah ekonomi akibat perkembangan geopolitik dan juga peredaran dan pengangkutan minyak dan sebagainya. Tetapi, ini suara rakyat Malaysia dan apa-apa pun kita hadapi bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung usul mengutuk serangan biadap dan ganas Israel dengan sokongan AS terhadap Iran di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada Sabtu, Israel menyerang Iran yang meningkatkan ketegangan antara negara di wilayah tersebut.
Dalam pada itu, Anwar berkata pertukaran rejim secara paksa di Iran merupakan keangkuhan kuasa besar yang cuba mengatur kepimpinan negara berdaulat melalui kekerasan.
Menurut Anwar, ia satu keganasan melampau yang mencabuli tatanan hukum dunia dan tidak boleh diterima mana-mana tamadun manusia.
Dalam konteks Malaysia, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI tidak sesekali akan membenarkan campur tangan mana-mana negara luar atau syarikat asing dalam sebarang urusan.
“Sudah tentunya kita meneliti apabila dikaitkan dengan ancaman-ancaman terbaharu yang masih dalam siasatan, kita jangan menafikan kemungkinan ini berlaku atau terus berlaku dan saya hanya beri jaminan kita akan tentu waspada.
“Kewaspadaan itu perlu, kesiapsiagaan itu perlu. Menganggap bahawa semuanya teratur dan terselamat itu suatu kelemahan besar daripada pemikiran kita. Jadi, sebab itu soal kedaulatan negara, maruah rakyat bagi kita harus ada kesepakatan walaupun sama-sama tahu akan risikonya,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA