2 MAC : Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun gagal diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU itu gagal mendapat sokongan dua pertiga selepas keputusan undi belah bahagian diumumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Hanya 146 ahli Parlimen menyokong pindaan itu dan 44 ahli Parlimen berkecuali sementara 32 ahli Parlimen tidak hadir selepas ia dibahaskan 41 ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
“Yang tidak hadir 32, yang tidak mengundi 44, yang bersetuju 146. Oleh yang demikian, jadi keputusannya adalah kurang daripada dua pertiga majoriti yang bersetuju,” katanya.
Mana-mana RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan ahli Parlimen untuk diluluskan.
Bacaan pertama RUU tersebut dibentang minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan bacaan kali kedua hari ini.
Perkembangan itu menyebabkan ketidakpastian terhadap pindaan penting berkait pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, esok.