3 MAC : Sebanyak 5,203 kandungan berunsur lucah diturunkan penyedia platform dalam talian sejak 1 Januari 2022 sehingga 1 Mac 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata angka itu merupakan 80 peratus daripada keseluruhan 6,481 permohonan penurunan yang dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Fahmi, sebanyak 4,380 laman sesawang berunsur lucah juga sudah disekat susulan permohonan dibuat MCMC dalam tempoh sama.
“Tindakan penurunan kandungan pemberi perkhidmatan ini dibuat berdasarkan aduan dikemukakan, syarat-syarat garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan dan aplikasi undang-undang tempatan yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Fahmi menjawab soalan Mohd Hasbie Muda yang membangkitkan soal langkah baharu kerajaan bagi menyekat laman web pornografi yang terus berleluasa.
Fahmi berkata dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian (Akta 866) sejak 1 Januari lalu, pemberi perkhidmatan aplikasi dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) diwajibkan mengawal selia kandungan memudaratkan dalam talian.
“Sejak penguatkuasaan Akta 866, MCMC mengemukakan permohonan penurunan enam kandungan lucah dan kesemua kandungan tersebut telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan,” katanya.
Setakat ini katanya, 9,383 Kempen Internet Selamat sudah dilaksanakan di sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan penglibatan 472,066 murid dan pelajar.
Sementara itu, 554 program juga sudah dilaksanakan kepada masyarakat umum yang membabitkan 426,381 peserta di seluruh negara sejak tahun lalu sehingga 1 Mac lepas.
Dalam pada itu, Fahmi ketika menjawab soalan tambahan tentang sasaran menoktahkan akses ke laman web pornografi di negara ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata kerajaan sedang mengenal pasti mekanisme terbaik bagi melaksanakan perkara itu.
“Cara terbaik dalam keadaan tertentu, seperti kita ada undang-undang baharu untuk menangkap dan mendakwa pihak tertentu yang membangunkan aplikasi atau laman sesawang ini di mahkamah.
“Bagi mereka yang membangunkan laman sesawang di luar negara, kita perlu kerjasama negara asing, jadi ada beberapa kekangan.
“Jadi, cara terbaik adalah kita menjadi contoh kepada keluarga, masyarakat dan anggota parti kita supaya elak daripada menormalisasikan budaya atau menonton laman sesawang berkenaan,” katanya.