3 MAC : Seorang pelajar yang tular selepas memuat naik gambarnya memijak kitab suci al-Quran hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan.
Namun tertuduh, Vikneswaran Selvanathan, 21 mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan iaitu mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau, bulan lalu.
Pengakuan dibuat sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu yang mengenakan t-shirt merah dan berseluar hitam tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 9 pagi dengan kawalan ketat.
Vikneswaran yang merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Komputer UMPSA itu ditahan pada 25 Februari lalu dan direman sehingga hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, pelajar itu telah mencemarkan satu kitab suci yang dipegang penganut agama Islam iaitu sebuah al-Quran, dengan niat hendak mengaibkan agama Islam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melalui akaun Threads ‘Ryandaselva’ secara sedar membuat dan menghantar komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama.
Hukuman diperuntukkan ialah denda tidak melebihi RM500,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumahnya di Taman Seri Mahkota Aman, Jalan Gambang jam 1.30 petang, 22 Februari lalu.
Vikneswaran kemudiannya dibenar diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta melapor diri di Balai Polis Jaya Gading, setiap awal bulan.
Kes disebut semula pada 8 April depan.