4 MAC : Kerajaan menjangkakan proses penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka mengambil masa tiga bulan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata tempoh itu bagi beberapa proses termasuk penelitian dan pengumpulan maklum balas.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan berlangsung 16 Mac ini.
“Jemaah Menteri meneliti pembentangan RUU bagi tujuan memisahkan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya dan juga mengambil maklum bahawa satu Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan, dipengerusikan Azalina.
“Azalina memaklumkan mesyuarat pertama bagi jawatankuasa ini akan diadakan pada 16 Mac dan dijangka proses untuk meneliti pandangan, mengumpulkan maklum balas serta usaha untuk menambah baik RUU terbabit akan mengambil masa sekitar tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Semalam, RUU itu diluluskan Dewan Rakyat dengan suara majoriti untuk dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas.
Azalina berkata penelitian itu termasuk berkait mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya dan mengesyorkan sebarang pindaan yang wajar.
Selain Azalina, jawatankuasa tersebut dianggotai William Leong (PH-Selayang), Syahredzan Johan (PH-Bangi), Adly Zahari (PH-Alor Gajah), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) dan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau).
Turut menganggotai jawatankuasa itu Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).
Sementara itu, Fahmi berkata RUU bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan kembali ke Dewan Rakyat, Jun ini.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah membuat keputusan bahawa rang undang-undang tersebut akan dibawa semula dalam sidang mesyuarat yang berikutnya sekitar bulan Jun.
“Kita berharap dan akan berusaha untuk memastikan ahli-ahli parlimen kerajaan memberi sokongan penuh, hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya.
Beliau berharap pembangkang akan bersama-sama blok kerajaan untuk memastikan pindaan itu dapat diluluskan.