5 MAC : Kerajaan membenarkan kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial yang dikendalikan ibu bapa masing-masing.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia bagi melindungi golongan bawah umur itu daripada ancaman keselamatan dalam talian.
“Isu utamanya ialah siapa yang mengawal akaun tersebut…kita tidak mahu anak-anak yang mengawal akaun itu sendiri.
“Kalau akaun itu dibuka ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka boleh tahu kalau ada individu yang tidak dikenali berhubung dengan anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Sumbangan Ihsan Kasih Ramadan 2026 pada Rabu.
Terdahulu, kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2024 antara lain melarang individu bawah 16 tahun membuka akaun media sosial sebagai usaha mengawal keselamatan pengguna dalam talian.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Malaysia memanfaatkan peruntukan undang-undang berkaitan MyKad sebagai langkah tambahan bagi mengesahkan identiti dan umur pengguna.
Justeru itu, beliau sekali lagi mengingatkan golongan ibu bapa bahwa peranti bukan pengasuh sebaliknya mereka perlu memainkan peranan masing-masing.
“Anak-anak masih dibenarkan menonton kandungan seperti di YouTube…cuma mereka tidak boleh membuka akaun sendiri.
“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa ada tanggungjawab juga,” katanya.