5 MAC : Lapan parti politik utama di negara ini berhimpun buat julung kalinya Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata detik bersejarah itu berlaku sempena berlangsungnya Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera.
Asyraf berkata parti politik terlibat ialah UMNO, PAS, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), BERJASA, KIMMA dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN).
“Petang tadi sejarah tercipta berlangsungnya Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan Parti-Parti Politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO, WTC Kuala Lumpur.
“Saya diamanahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, musyawarah itu merupakan cetusan idea Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bagi menghimpunkan pelbagai parti tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata dalam sistem demokrasi, parti-parti politik di blok kerajaan mahupun pembangkang boleh berbeza pandangan kerana ia lumrah dalam politik.
“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya.
Hasil pertemuan itu katanya, semua pihak sepakat untuk ditubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform atau wahana yang akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.
