KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Kementerian Luar Negeri memandang serius peningkatan ketegangan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.
Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan. Mengambil kira ancaman keselamatan semasa, Kementerian menasihatkan warganegara Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh konflik berkenaan. Nasihat ini juga terpakai kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah.
Nasihat perjalanan ini akan terus berkuat kuasa sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak. Sehubungan itu, Kementerian memohon kerjasama dan kefahaman semua pihak, termasuk agensi pelancongan.
Pada masa yang sama, kementerian sedang bekerjasama dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia, kerajaan negara-negara berkaitan serta syarikat penerbangan bagi mengatur usaha evakuasi rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara. Usaha evakuasi ini juga meliputi rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air, berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar.
Rakyat Malaysia digesa untuk segera mendaftar dan mengemaskini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia yang terdekat, atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my
Rakyat Malaysia di negara-negara terjejas digesa supaya sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan yang tinggi, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam, serta mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kementerian akan memastikan usaha evakuasi ini dilaksanakan dengan sebaiknya dengan kerjasama semua pihak berkaitan demi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia.
KEMENTERIAN LUAR NEGERI