6 MAC : PKR memfail saman terhadap 16 bekas ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana tindakan keluar parti, dua tahun selepas memenangi kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh memwakili parti memfailkan saman itu dengan tuntutan ganti rugi RM10 juta setiap seorang melalui dua tindakan berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 dan 27 Februari lalu.
Senarai defendan melibatkan Baru Bian, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk R. Santhara Kumar.
Selain itu, turut dinamakan Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.
Memetik laporan Bernama, dalam saman itu, PKR mendakwa di bawah klausa operatif bon, setiap defendan bersetuju membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas berlakunya mana-mana peristiwa termasuk defendan meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat Bebas.
PKR mendakwa setiap defendan dilantik menjadi calon untuk mewakili parti itu dalam PRU14 dan menang beberapa kerusi Parlimen dan DUN yang kemudiannya membentuk Kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri.
“Bagaimanapun pada 24 Feb 2020, setiap defendan berhenti menjadi ahli parti selepas dipilih di bawah panji-panji parti. Mereka juga menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain PKR,” menurut PKR dalam pernyataan tuntutan itu.
Menurut PKR, keahlian setiap defendan ditamatkan serta-merta pada 11 Mac 2020.
“Melalui surat bertarikh 28 Julai 2020, PKR telah mengeluarkan tuntutan rasmi kepada setiap defendan bagi pembayaran jumlah tersebut, namun defendan-defendan gagal membayar bon berkenaan,” kata PKR.
Pengurusan kes bagi kedua-dua saman itu ditetapkan pada 17 dan 27 Mac ini.