6 MAC : Tindakan tegas perlu diambil segera terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cubaan menggugat kerajaan dengan menggunakan media atau pengaruh asing tidak sepatutnya berlaku.
“Tidak seharusnya kestabilan politik tergugat disebabkan oleh seseorang yang merasakan media dan pihak luar boleh digunakan untuk merosakkan kestabilan politik di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Pertemuan Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pengurusan Tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), hari ini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata semua pihak perlu memberikan ruang untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Jadi, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sebagaimana yang disebutkan oleh Ketua Polis Negara serta kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud cubaan menjatuhkan kerajaan yang melibatkan media asing dan institusi antarabangsa termasuk kelompok zionis terkemuka.