7 MAC : Sebanyak 70,122 talian kad SIM prabayar dinyahaktifkan tahun lalu selepas didapati disalahguna untuk menghantar mesej mencurigakan.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata angka itu meningkat hampir 10 kali ganda berbanding 7,409 yang dinyahaktifkan pada tahun 2024.
Menurutnya, angka tersebut menunjukkan penyalahgunaan itu masih berleluasa yang jelas memerlukan kawal selia lebih ketat.
“Apabila kita mendapati semakin banyak talian disalahgunakan, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemas kini garis panduan bagi pembelian dan pendaftaran kad SIM prabayar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Temenggong Kulai, hari ini.
Menurutnya, perkembangan teknologi hari ini termasuk kemajuan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mudah diakses menyebabkan taktik penipuan turut berubah dengan pantas.
“Teknologi sentiasa berubah, jika dahulu penggunaan AI masih mempunyai banyak halangan, hari ini orang ramai boleh menghasilkan video, gambar atau suntingan menggunakan AI dengan sangat cepat dan mudah.
“Oleh itu program kesedaran awam mengenai keselamatan digital perlu dilaksanakan secara berterusan supaya masyarakat lebih celik tentang jenis scam yang digunakan,” katanya.
Justeru itu katanya, kerajaan mengehadkan pembelian kad SIM prabayar dengan pelancong asing hanya dua unit bagi setiap syarikat telekomunikasi, berbanding lima sebelum ini.
Kad SIM prabayar yang didaftarkan pelancong juga katanya akan ditamatkan secara automatik selepas tiga bulan bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan.
Selain itu katanya, pendaftaran kad SIM dengan menggunakan dokumen pengenalan asal mampu mengekang amalan segelintir pengedar yang menggunakan salinan dokumen untuk mendaftarkan kad SIM tanpa kehadiran pemilik sebenar.