Kerajaan berusaha pastikan harga RON95 kekal paras RM1.99
9 MAC : Kerajaan akan berusaha agar harga RON95 dikekalkan pada paras RM1.99 seliter bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata harga RON95 di Malaysia masih terkawal meski harga minyak mentah dunia sudah mencecah AS$100 per tong.
“Harga minyak hari ini, harga minyak mentah Brent satu barel (tong) sudah naik 100 dolar Amerika.
“Kita masih bertahan dengan RM1.99 untuk BUDI 95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap seluruh jentera KPDN yang membantu mengawal kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan.
Katanya, ia juga hasil kerja warga kementerian itu untuk bekerja berkali ganda berbanding bulan sebelumnya.
“Saya belum dengar ada rungutan. Ini luar biasa kesabaran. Kadang-kala yang merungut, menteri yang memaklumkan dalam mesyuarat ada anak-anak buahnya dibebankan dengan begitu banyak tugas.
“Tetapi dia, seperti saya, juga bangga dengan komitmen saudara-saudara menjayakan program ini kerana program ini secara langsung memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pengukuhan beberapa langkah untuk mengawal harga barangan terutama melalui Jualan Rahmah MADANI.
“Semoga ikhtiar ini sedikit sebanyak membantu rakyat dalam membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan gembira bersama keluarga serta insan tercinta, Insya-Allah,” katanya.
