9 MAC : Perdana Menteri sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia terutama dalam situasi kritikal di Asia Barat ketika ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memantau secara serius operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik itu.
“Pejabat Perdana Menteri sedang giat memantau serta meneliti perkembangan perang Asia Barat. Perdana Menteri sendiri memantau secara serius operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik di Asia Barat setelah pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat pada hari ini.
“Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Perdana Menteri mendoakan agar keseluruhan operasi evakuasi ini dipermudah, berjalan lancar dan kesemua rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.
“Perdana Menteri sekali lagi menekankan bahawa nyawa rakyat Malaysia diutamakan dalam apa jua keadaan, terutamanya situasi kritikal yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Konflik di Asia Barat kian memuncak selepas Israel yang dibantu Amerika Syarikat (AS) menyerang Tehran pada 28 Februari lalu yang menyebabkan Pemimpin Agung Iran, Allahyarham Ali Khamenei terbunuh.
Selepas lebih seminggu insiden itu, setakat hari ini masih tiada penyelesaian dan keadaan semakin meruncing dengan angka yang terkorban terus meningkat.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan data menunjukkan hampir 3,000 pelancong dan lebih 20,000 lagi bekerja atau bermastautin di negara-negara Asia Barat.
Katanya, setakat ini keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar terkandas dan menghadapi kesukaran termasuk kehabisan wang untuk menampung kos penginapan serta makanan.