Malaysia sokong usaha rundingan hentikan konflik Asia Barat
9 MAC : Malaysia menyokong usaha rundingan bagi menamatkan konflik yang terus meruncing di negara Teluk dan Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sejajar dengan pendirian bipartisan yang berprinsip diambil Parlimen Malaysia.
Beliau turut menyambut baik seruan supaya semua pihak menahan diri yang disuarakan kepimpinan tertinggi di Iran ketika konflik di rantau Teluk dan Asia Barat masih berterusan.
“Seruan itu wajar diambil dengan serius dan dihormati. Sentiasa ada suara yang menggesa pendekatan lebih tegas namun sejarah jarang menyebelahi mereka yang memilih untuk meninggalkan ketegangan berbanding rundingan ketika pintu dialog masih terbuka.
“Mengekalkan ruang dialog itu memerlukan keberanian yang sebenar,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu kenayataan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata situasai semasa kekal membimbangan apabila Bahrain, Kuwait, Qatar, Saudi Arabia dan United Arab Emirates berdepan serangan berulang.
Katanya, keganasan itu juga sudah sampai ke Azerbaijan, Jordan dan Turkiye.
“Kemudahan tenaga, pemasangan bekalan air serta infrastruktur lain yang menjadi kebergantungan jutaan manusia untuk kehidupan harian turut menjadi sasaran.
“Laluan utama minyak dunia dan perkapalan antarabangsa melalui perairan ini. Gangguan di kawasan tersebut membawa kesan yang jauh melangkaui rantau berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha bagi menghentikan permusuhan melalui rundingan.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera dan jelas bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa serta implikasi meluas terhadap negara lain.