9 MAC : Anak kepada Pemimpin Agung Iran, Allahyarham Ali Khamenei, Mojtaba Khamenei dilantik menggantikan ayahnya sebagai ketua baharu Republik Islam itu.
Pelantikan itu diumumkan Majlis Pakar Iran dalam satu kenyataan pada tengah malam tadi.
Pemilihan Mojtaba, 56 tahun itu merupakan bentuk peralihan kuasa bersifat turun-temurun yang suatu ketika dahulu pernah ditolak bapanya.
Calon lain untuk jawatan tertinggi itu termasuk Alireza Arafi, salah seorang daripada tiga anggota majlis pemangku yang mentadbir negara, tokoh garis keras Mohsen Araki dan juga Hassan Khameini, cucu kepada pengasas Republik Islam pada 1979.
Allahyarham Ali Khamenei dilaporkan terbunuh pada usia 86 tahun ketika Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat menyerang Iran pada 28 Februari lalu yang mencetus perang di Asia Barat sehingga kini.
Mojtaba merupakan satu‑satunya anak Allahyaham yang memegang kedudukan awam meskipun tidak pernah menyandang jawatan rasmi.
Ulama itu sering digambarkan sebagai berperanan di belakang tabir, menarik tali di pusat kuasa Iran.
Beliau juga dianggap dekat dengan golongan konservatif, khususnya kerana hubungannya dengan Pengawal Revolusi (IRGC), sayap ideologi ketenteraan Republik Islam.
Dari sudut keagamaan, Mojtaba Khamenei menuntut dalam bidang teologi di kota suci Qom, selatan Tehran, di mana beliau juga mengajar.
Beliau mencapai pangkat Hujjat al‑Islam, gelaran bagi ulama pertengahan – satu aras di bawah gelaran Ayatollah yang disandang bapanya dan pemimpin revolusi, Ruhollah Khomeini.