KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP
Hari ini (8 Mac) saya mewakili Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah dalam Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah di Semenanjung Malaysia bersama YAB Ketua Menteri Sabah. Program tahunan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah ini menghimpunkan lebih 1,200 mahasiswa Sabah yang sedang menuntut di 31 buah IPT di Semenanjung Malaysia.
Pelaksanaan majlis ini bertujuan menjadi salah satu platform mengeratkan hubungan melalui interaksi secara langsung antara pimpinan Kerajaan Negeri dengan mahasiswa di perantauan. Ia juga berfungsi sebagai wahana komunikasi dua hala untuk Kerajaan Negeri memberikan maklumat khususnya berkaitan agenda pendidikan, manakala mahasiswa boleh mengemukakan sebarang syor dan pertanyaan berkaitan.
BANTUAN GRS/SUBFLY DAN SENTOSA OLEH KERAJAAN NEGERI SABAH
Platform komunikasi seumpama ini juga penting bagi mengenal pasti keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan sekali gus merangka dasar dan program yang menepati keperluan rakyat. Sebagai contoh, sesi interaksi sebeginilah yang telah membawa Kerajaan Negeri Sabah untuk memperkenalkan Program Bantuan Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS/SUBFLY). Ia hasil daripada permintaan para mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia yang mengutarakan beban kos tiket penerbangan mereka untuk balik ke kampung halaman khususnya menjelang musim perayaan.
Bantuan GRS/SUBFLY telah mula diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2024 yang merupakan bantuan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bagi tahun 2025, seramai 19,505 pelajar IPT telah menerima manfaat melalui inisiatif ini dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM11.7 juta.
Selain itu, susulan daripada pelbagai siri interaksi bersama para mahasiswa yang menuntut di Sabah, Kerajaan Negeri Sabah turut memperkenalkan inisiatif Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) bermula tahun lalu. Inisiatif bantuan one-off RM300 adalah subsidi pengangkutan bertujuan meringankan beban kewangan mahasiswa yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam Negeri Sabah untuk pulang sewaktu musim perayaan. Bagi tahun 2025, seramai 22,649 pelajar menerima manfaat inisiatif SENTOSA dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.79 juta.
BANTUAN FLYSISWA KERAJAAN PERSEKUTUAN MELALUI KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
Pada masa yang sama, bantuan subsidi tiket penerbangan ini telah digerakkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan sejak tahun 2023 khusus untuk pelajar Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi laluan penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bermula tahun 2025, amaun baucar digital melalui FLYsiswa juga telah ditingkatkan kepada RM400 berbanding RM300 pada tahun sebelumnya. Bagi tahun 2025, sebanyak 25,289 mahasiswa Sabah telah menerima manfaat FLYsiswa melibatkan 18,335 mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia, 3,751 mahasiswa Sabah di Sarawak dan 3,203 mahasiswa Sabah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) amat menghargai komitmen tinggi Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pengangkutan melalui pelaksanaan GRS-SUBFLY, SENTOSA dan FLYSISWA. Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelbagai jenis dan kategori bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam meringankan beban sara hidup rakyat. Usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pengangkutan Malaysia ini adalah penzahiran kepada pendekatan seluruh Kerajaan (whole of government) dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.
DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup