9 MAC : Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan anak bulan Syawal akan diliaht pada petang 19 Mac di 29 lokasi di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata tarikh Hari Raya Puasa bersamaan 1 Syawal akan diisytiharkan pada sebelah malam melalui radio dan televisyen.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Khamis, 19 Mac 2026 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Lokasi yang dikenal pasti untuk melihat anak bulan adalah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Balai Hilal Pantai Pasir Panjang, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Lokasi lain Stesen Cerapan Hilal di Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah, manakala di Terengganu pula di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.
Sementara di Kelantan pula ialah di Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Bintulu.
Di Sabah ialah di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Menara 188, Kuantan.
Selain itu, lokasi lain ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis, Perlis.