11 MAC : Rakyat Malaysia kekal menikmati harga RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada paras RM1.99 seliter meski harga pasaran minyak dunia kini sudah melonjak naik ekoran konflik yang kian meruncing di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bekalan produk petroleum di negara ini masih terkawal dan setakat ini Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengesahkan ia mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.
“Ini satu keputusan yang sukar tapi (RON95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 sen seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi dari harga sebenar, apalagi kalau dibanding dengan harga di negara-negara jiran, tiga kali ganda (banding harganya).
“Tapi Alhamdulillah berkat pengurusan Petronas dan negara, kita dapat menjamin bekalan minyak yang cukup serta mengekalkan harga RM1.99 bagi BUDI MADANI 95,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media khas perkembangan konflik di Asia Barat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata dianggarkan lebih 400 kapal tangki minyak dan sekitar 3,000 kapal pengangkutan lain terkandas susulan konflik di Asia Barat dan harga minyak Brent mencecah AS$119 bagi setiap tong pada 9 Mac lalu.
“Walaupun keadaan sedikit menurun pada hari ini, semalam mencecah pada paras sekitar AS$90 setong. Ini peningkatan mendadak yang akan memberi kesan ekonomi bagi negara-negara pengimport dan pengguna minyak,” katanya.
Sementara itu, beliau mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan termasuk aktiviti penyeludupan.
“Keadaan ini memungkinkan penyeludupan jadi saya tugaskan Timbalan Perdana Menteri II bersama KPDN memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terdapat kalangan yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan situasi masih terkawal ketika ini dan kerajaan akan terus memantau perkembangan di Asia Barat selain merancang langkah bagi memastikan kepentingan rakyat serta negara terus terpelihara.
“Sepertimana yang kita tahu, kita telah lalui ujian dan kemelut sebelum ini dan saya yakin, insya-Allah sikap lebih bertanggungjawab dengan kerjasama semua pihak, pimpinan kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat jelata kita dapat menangani permasalahan ini dengan baik. Semoga Allah SWT merestui usaha kita dan memelihara negara kita,” katanya
