11 MAC : Di sebalik ketidaktentuan pasaran minyak global berikutan konflik di Asia Barat, Kerajaan MADANI tetap mengekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada paras RM1.99 seliter.
Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan penetapan harga baharu bagi RON95 dan RON97 dengan kenaikan 60 sen seliter sementara diesel di Semenanjung naik 80 sen seliter bagi tempoh 12 hingga 18 Mac ini.
Kadar baharu RON97 RM3.85 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.27 seliter dan diesel di Semenanjung RM3.92 seliter.
Menurut kementerian itu, kerajaan mengambil beberapa langkah bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga pasaran produk petroleum.
“Kerajaan akan mengekalkan harga bersubsidi RON95 untuk rakyat pada harga RM1.99 seliter melalui BUDI95 dan mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk rakyat di Sabah dan Sarawak pada harga RM2.15 seliter.
“Kerajaan juga mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung pada harga RM1.88 dan RM2.15 seliter masing-masing dan menaikkan bantuan tunai bagi tempoh interim kepada pengguna kenderaan diesel yang layak dibawah BUDI Diesel Individu dan Budi Diesel Agri-Komoditi daripada RM200 kepada RM300 untuk bulan Mac 2026. Pembayaran tambahan RM100 akan dibuat mulai 17 Mac 2026,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan berkata Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat Malaysia melalui inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI serta bantuan tunai tambahan, tatkala pasaran minyak global terus berdepan ketidaktentuan.
“Walaupun harga bahan api akan diselaraskan bagi mencerminkan pergerakan harga minyak di pasaran global, kerajaan akan terus menanggung sebahagian subsidi bagi meredakan kesan kenaikan harga pasaran kepada rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut kementerian itu, meski harga minyak Brent dilaporkan turun kepada sekitar AS$90 setong selepas mencecah AS$119 setong pada 9 Mac lalu, namun keadaan pasaran kekal tidak menentu.
Selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan usaha penguatkuasaan bagi membendung ketirisan serta mencegah penyalahgunaan bahan api bersubsidi, memandangkan harga bahan api di Malaysia masih kekal lebih rendah berbanding negara jiran.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara,” kata MoF.