11 MAC : Gara-gara memuat naik komen bersifat jelik melampau pada tahun lalu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM50,000, hari ini.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen 1 Miri terhadap seorang pentadbir akaun Facebook, John Mule Alai, 48 yang memuat naik komen tersebut dan menyinggung sensitiviti agama Islam berhubung pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), John didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang.
“Beliau selaku pentadbir akaun Facebook ‘Bat Tuo Sai’ telah memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci al-Quran dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian beliau.
“MCMC memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
Tegas MCMC, sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang.