12 MAC : Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan kesediaan untuk kembali bersama parti itu jika keputusan penggantungan keahliannya ditarik balik.
Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, beliau tidak pernah meninggalkan UMNO apatah lagi menyerang parti itu meski digantung selama tiga tahun.
“Saya rasa terharu dan berterima kasih atas apa yang dinyatakan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) berhubung keputusan untuk menerima mereka yang dipecat atau digantung atau keluar parti tanpa syarat.
“Saya nak nyatakan bagi diri saya sendiri, itu bukan suatu perkara yang sukar kerana saya tidak pernah keluar parti.
“Jadi esok jika ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti untuk menarik balik penggantungan terhadap diri saya, saya akan kembali terus berjuang dalam parti UMNO ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Jelas bekas menteri itu, keputusan kembali berjuang dalam UMNO bukan suatu masalah untuknya.
“Dalam tiga tahun saya digantung, tak pernah serang parti pun. Jadi hari ini, apabila pimpinan telah membuat pendirian saya rasa penting untuk saya beritahu pada warga Sembrong dan kepimpinan UMNO Sembrong dahulu…sebenarnya tak menimbulkan masalah langsung bagi saya untuk menerima apa (kembali ke UMNO) yang dinyatakan presiden parti.
“Yang penting sekarang saya tak pernah lari daripada parti. Isunya ialah status saya, sebagai ahli UMNO di mana sebelum ini Majlis Tertinggi (UMNO) telah membuat keputusan untuk menggantung saya,” katanya.
Keahlian Hishamuddin digantung selama enam tahun pada tahun 2023.
Pada 2023, UMNO menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun.
Ahmad Zahid pada 6 Mac lalu berkata UMNO melalui Rumah Bangsa membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa yang mahu bersama dalam perjuangan UMNO.
Ini termasuk bekas ahli yang dipecat atau yang digantung.