13 MAC : Kerajaan terpaksa menampung kenaikan subsidi bahan api sebanyak RM3.2 bilion berbanding RM700 juta sebelum ini susulan kenaikan harga minyak mentah dunia akibat konflik di Asia Barat yang kian meruncing.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan menanggung kenaikan itu demi memastikan rakyat terus dapat menikmati harga subsidi.
“Kerajaan MADANI mengambil pendekatan bagi memastikan rakyat dapat disokong dan Alhamdulillah kerajaan dapat mengekal sokongan diberi dengan program BUDI.
“Ini memberi kelegaan kepada rakyat namun kita kena faham apabila dapat mengekalkan harga itu, mestinya ada implikasi kepada kerajaan.
“Kita kira dengan kenaikan harga minyak sekarang, bermakna subsidi naik lebih kurang RM2 bilion berbanding RM700 juta untuk petrol yang sebelum ini dibayar dan diesel sudah naik sampai RM1.2 bilion. Ini kerana kita nak mengekalkan harga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas Menara Komunikasi, hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata kerajaan mampu menampung beban kewangan itu hasil pelbagai reformasi fiskal dan konsolidasi fiskal sepanjang tiga tahun pemerintahan Kerajaan MADANI.
“Alhamdulillah kita ada cukup bekalan bahan tenaga-petrol dan diesel. Petronas dan syarikat lain juga sedang berusaha untuk memanjangkan bekalan dalam negara.
“Kita tidak kata kita tidak terkesan. Kita memang terkesan dari segi harga barangan yang ada kerana harga minyak itu ditentukan dari pasaran dunia dan harga itu sudah pun melonjak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak tidak membuat spekulasi untuk kemungkinan-kemungkinan yang berlaku pada masa depan sekiranya konflik itu berpanjangan.