KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Kementerian Luar Negeri merujuk kepada insiden kebakaran yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 5 petang waktu tempatan pada 12 Mac 2026 di Hotel Mira Ajyad di Makkah.
Sebaik sahaja menerima maklumat mengenai insiden tersebut, kementerian melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa Arab Saudi yang berkaitan serta agensi pelancongan Umrah Malaysia bagi memastikan keselamatan jemaah Malaysia yang menginap di hotel berkenaan.
Maklumat awal menunjukkan bahawa kira-kira 70 orang jemaah Malaysia di bawah kelolaan TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel menginap di hotel tersebut.
Ketiga-tiga agensi tersebut telah mengesahkan bahawa semua jemaah Malaysia di bawah pengurusan mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti.
Dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kira-kira jam 7.20 malam waktu tempatan, beberapa jemaah Malaysia juga dilihat berkumpul dengan selamat di sekitar kawasan hotel.
Pada peringkat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi. Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden tersebut berpunca daripada serangan dron atau sebarang unsur sabotaj.
Atas faktor keselamatan, para tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sekiranya terdapat kelewatan dalam mendapatkan kebenaran untuk kembali ke hotel, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan masing-masing akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas.
Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau situasi ini dengan rapat dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara.
Jemaah Malaysia yang kini berada di Makkah dinasihatkan supaya kekal tenang dan patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di:
KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI JEDDAH, KERAJAAN ARAB SAUDI
Tel: +966 126 727 740 | +966 573 099 589
E-mel: mwjeddah@kin.gov.my
KEMENTERIAN LUAR NEGERI