Konflik Asia Barat: Malaysia jadi rujukan pemimpin luar
13 MAC : Beberapa pemimpin negara luar termasuk dari rantau Teluk, Iran dan Turkiye menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan pandangan Malaysia berkait perkembangan konflik semasa di Asia Barat.
Perkara itu dimaklumkan Anwar dalam pertemuan bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kepemimpinan Kerajaan Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.
Menurut Anwar, kesediaan negara luar bertukar pandangan dengan kita merupakan satu penghormatan buat Malaysia.
“Saya memaklumkan bahawa pimpinan beberapa negara di rantau Teluk serta pimpinan Iran dan Turkiye telah menghubungi kita untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan konflik semasa.
“Sebagai sebuah negara yang relatifnya tidak besar, kesediaan mereka untuk mendengar pandangan Malaysia merupakan suatu penghormatan kepada negara dan saya telah menyampaikan beberapa pandangan mewakili Malaysia sambil menegaskan kepentingan meredakan ketegangan demi keamanan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pertemuan itu katanya merupakan sebahagian daripada kesinambungan siri pertemuan yang diadakan dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara.
“Pendekatan ini berpaksi pada keyakinan bahawa pembangunan yang mampan mesti bertitik tolak daripada kesediaan untuk mendengar dengan teliti keperluan serta aspirasi negeri, khususnya dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Dalam mesyuarat tersebut, kami meneliti pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan rakyat Sarawak, termasuk agenda pembangunan, pemerkasaan ekonomi negeri serta usaha memperkukuh kerjasama antara Persekutuan dan negeri,” katanya.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, dalam mesyuarat tersebut, pelbagai perkara berkaitan kepentingan rakyat Sarawak dibincangkan termasuk agenda pembangunan, pemerkasaan ekonomi negeri serta usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Anwar turut dimaklumkan mengenai keperluan mendesak untuk menyelesaikan isu banjir dan bekalan air di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan sudah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meneliti pendekatan menyeluruh bagi memastikan projek berkaitan dapat disegerakan.
Menurutnya, hampir keseluruhan projek berkenaan sudah mempunyai peruntukan dan perlu diselesaikan secepat mungkin demi kesejahteraan rakyat.
“Justeru, ia menjadi bukti nyata bahawa dialog terbuka sebegini amat penting sebagai wahana untuk memperkemas serta mencakup keperluan masyarakat di negeri-negeri, ketimbang sekadar memenuhi syarat birokratik semata,” katanya.
