13 MAC : Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan berterusan rejim zionis Israel menutup pintu Masjid Al-Aqsa (Al-Haram Al-Sharif) kepada para jemaah umat Islam, khususnya semasa bulan suci Ramadan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan sekatan bersifat diskriminasi dan sewenang-wenangnya terhadap akses ke Kota Lama Baitulmaqdis serta tempat-tempat ibadat di kawasan itu merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
Selain itu, tindakan itu juga melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta sejarah dan perundangan sedia ada yang mengawal selia tapak-tapak suci di Baitulmaqdis.
“Tindakan sedemikian merupakan satu lagi provokasi terhadap umat Islam serta terus meningkatkan ketegangan di Wilayah Palestin yang diduduki.
“Malaysia dengan tegas menolak langkah-langkah yang menyalahi undang-undang dan tidak berasas ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata Malaysia juga mengecam usaha berterusan Israel untuk menjejaskan kesucian dan status Masjid Al-Aqsa.
Menurut kementerian itu, Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmaqdis Timur mahupun ke atas tapak-tapak suci Islam dan Kristian di kawasan tersebut.
Jelas Wisma Putra, keseluruhan kompleks Masjid Al-Aqsa seluas 144 ribu meter persegi merupakan tempat ibadat umat Islam.
Di mana Waqf Baitulmaqdis serta Jabatan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf, Hal Ehwal Islam dan Tempat-Tempat Suci Jordan kekal sebagai satu-satunya pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran kawasan tersebut serta pengawalan akses ke dalamnya.
Justeru itu, katanya, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Israel agar menghentikan pelanggaran berterusan serta amalan-amalan yang menyalahi undang-undang terhadap tapak-tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis.
“Malaysia turut menyeru agar kesucian serta sejarah dan perundangan sedia ada tempat-tempat suci tersebut dihormati,” kata kementerian itu.