Putrayajaya minta kerjasama Sarawak banteras seludup diesel
13 MAC : Putrajaya meminta kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak bagi membanteras aktiviti penyeludupan diesel di negeri itu susulan harga runcitnya yang jauh lebih rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sudah menyampaikan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg agar agensi penguatkuasaan diberi kerjasama sepenuhnya.
“Hal ini kerana kita tahu harga diesel di Sabah dan Sarawak rendah dan sebab itu penyeludupan kemungkinan akan berlaku,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa MADANI Tahun 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengajak orang ramai berdoa agar konflik di Asia Barat segera mereda bagi mengurangkan beban ditanggung kerajaan dalam membelanjakan subsidi.
Katanya, kerajaan masih mengekalkan harga subsidi bagi RON95 di bawah inisiatif BUDI95 meskipun harga minyak mentah Brent mencecah AS$100 setong.
“Sebab itu kita harus berdoa agar konflik di Asia Barat segera selesai supaya kita tidak lagi terbeban.
“Buat masa ini keputusan kita tidak akan mengubah dasar subsidi RON95 dan kita juga akan ambil dasar penjimatan kewangan kita,” katanya.
