13 MAC : Israel melancarkan serangan udara berhampiran dengan kedudukan Batalion Malaysia (MALBATT) di kawasan operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), selatan Lubnan pada awal pagi, hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata berkata jarak serangan yang berlaku sekitar 100 hingga 200 meter sahaja dari pos kawalan.
“Kementerian Pertahanan memaklumkan berlakunya insiden serangan udara oleh Israel Defence Forces (IDF) berhampiran kedudukan MALBATT 850-13 di kawasan operasi UNIFIL di selatan Lubnan pada awal pagi, hari ini.
“Pada 13 Mac 2026 kira-kira jam 2.35 pagi waktu tempatan, satu serangan udara dilaporkan berlaku berhampiran pos kawalan dengan jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari penempatan pasukan MALBATT 850-13.
“Serangan tersebut dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, serangan susulan dilaporkan berlaku pada jam 3.02 pagi yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan pos kawalan tersebut.
“Ketika kejadian, seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat MALBATT 850-13 yang berada di pos kawalan diarahkan Tactical Operations Centre (TOC) MALBATT untuk berundur sebagai langkah keselamatan.
“Pasukan berkenaan kemudiannya bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan (LAF) ke lokasi selamat dan tiba dengan selamat pada jam 4.12 pagi waktu tempatan,” katanya.
Selain itu katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan anggota MALBATT dan LAF sementara semua persenjataan serta peralatan yang dibawa berada dalam keadaan selamat.
Katanya, pemeriksaan kesihatan juga dijalankan pegawai perubatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik dan terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pertahanan menegaskan keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
Katnaya, kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi dengan teliti serta bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan rakan-rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara.