14 MAC : Kerajaan menjangkakan subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak melonjak sehingga RM4.6 bilion tahun ini susulan impak konflik Asia Barat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion bagi tujuan itu pada 2025.
“Berdasarkan tahap penggunaan yang sama serta harga pasaran semasa, beban subsidi kerajaan diunjurkan meningkat kepada RM4.6 bilion pada 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani (PJRM) & Advokasi Kepenggunaan DUN Tg. Aru di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut Armizan, subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi Malaysia Timur tahun lalu mencecah RM2 bilion di mana RM924 juta bagi Sabah dan Sarawak RM1.08 bilion.
Dalam pada itu, Armizan berkata jika penyelewengan dan penyeludupan terus berlaku, implikasi yang perlu ditanggung kerajaan akan semakin melebar.
Justeru itu katanya, Kabinet menekankan keperluan memperkasa penguatkuasaan melibatkan semua agensi penguatkuasaan.
Jelasnya, tumpuan diberi kepada Sabah dan Sarawak susulan harga pasaran yang jauh lebih murah membuka ruang ketirisan dan penyeludupan.
”Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
”Di bawah Akta 122 jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi syarikat,” katanya.