16 MAC : Kerajaan mengesahkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani tahun lalu tidak lagi terpakai.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ia berikutan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan tarif diperkenalkan Presiden AS, Donald Trump.
Jelasnya, setakat ini tarif dikenakan terhadap Malaysia sebanyak 10 peratus (%) berbanding kadar 19% yang dipersetujui dalam perjanjian itu.
“Sekarang ini Trump menggunakan Seksyen 122 di bawah Akta Perdagangan 1974 AS yang menetapkan tarif 10 peratus kepada Malaysia.
“Jadi dalam tempoh lima bulan ini, pihak AS akan membuat semakan sama ada mahu menggunakan Seksyen 301 bagi menentukan kadar tarif baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 pada Ahad.
Terdahulu, Johari berkata pihaknya sedang meneliti perkembangan dasar perdagangan AS termasuk menilai skop serta implikasi keputusan pentadbiran Trump.
Mengulas lanjut, Johari berkata sebelum menentukan tarif baharu Washington bakal menilai beberapa perkara termasuk kemungkinan berlaku lambakan produk Malaysia di pasaran AS, penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran dan penggunaan pekerja bawah umur.
Pada masa sama, AS juga katanya akan mengambil kira aspek perlindungan alam sekitar bagi melihat kerosakan terhadap alam.
“AS mahu tengok apabila sesebuah negara itu eksport barang dia, kerajaan bagi subsidi tak kepada pihak pengeksport.
“Kalau dia bagi subsidi pihak pengeksport, maknanya negara itu sudah menurunkan harga produk semata-mata mahu pastikan industri yang ada di sana, (kalau dia) melawan kita, dia akan kalah. Sebab kita bagi lebih murah. Itu tujuannya,” katanya.