16 MAC : Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyambut baik pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang disifatkan sebagai satu reformasi besar dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya membabitkan sektor kredit pengguna di negara ini.
Pengerusinya, Mohd Khair Ngadiron berkata pindaan itu bakal membawa perubahan ketara kepada landskap sewa beli di Malaysia dengan memberi penekanan terhadap aspek ketelusan, keadilan dan pemodenan sistem.

“MPPN berpandangan pindaan ini merupakan reformasi signifikan yang akan memberikan manfaat kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata dan Peraturan 78 serta penggantian kepada Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki.
“Pendekatan baharu ini akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus, adil dan mencerminkan baki pinjaman sebenar, khususnya bagi pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman,” katanya.
Pindaan itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 pada Ahad.
Dalam pada itu, Mohd Khair berkata pihaknya juga menyokong usaha kerajaan memodenkan urusan perjanjian sewa beli menerusi penggunaan tandatangan digital dan tandatangan elektronik yang dijangka meningkatkan kecekapan proses dokumentasi serta mengurangkan risiko penipuan melalui mekanisme pengesahan identiti lebih kukuh.
Katnaya, sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan akta berkenaan lebih awal daripada tarikh ditetapkan wajar dipertimbangkan agar pengguna dapat menikmati manfaat reformasi itu dengan lebih segera terutama dari sudut ketelusan pengiraan faedah dan keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman.
Namun, katanya tempoh peralihan kepada pemain industri juga penting bagi membolehkan penyesuaian dibuat terhadap sistem, dokumentasi serta proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khair berkata MPPN turut mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri mengenai konflik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran yang berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup.
“MPPN menegaskan kepentingan pemantauan harga dan amalan perniagaan yang beretika, di samping menyeru pengguna untuk tampil sebagai pengguna yang bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan,” katanya.