PM umum cuti tambahan Aidilfitri, tanda hargai rakyat
16 MAC : Perdana Menteri mengumumkan satu hari cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, tahun in.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sebagai tanda penghargaan untuk rakyat yang sudah bekerja keras.
Menurutnya, jika Aidilfitri disambut pada Jumaat atau 20 Mac, kerajaan akan menetapkan Isnin, 23 Mac sebagai cuti tambahan itu.
“Namun jika hari raya jatuh pada Sabtu, 21 Mac, maka cuti tambahan adalah pada Jumaat, 20 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu, semalam.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengumuman itu dibuat lebih awal bagi memudahkan rakyat merancang perjalanan masing-masing.
“Kita beri cuti Aidilfitri ini kerana lihat semua sudah kerja kuat pada bulan Ramadan ini, raikan Aidilfitri ini dengan penuh ceria bersama dengan keluarga tercinta,” katanya.
Tarikh melihat anak bulan Syawal dijadualkan Khamis ini bagi menetapkan tarikh 1 Syawal.
