16 MAC : Undang-undang antarabangsa perlu terpakai sama rata terhadap semua negara bukan secara terpilih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia penting bagi mengelakkan keyakinan terhadap sistem global terhakis.
“Sekiranya undang-undang antarabangsa mahu mengekalkan kredibiliti, ia perlu terpakai sama rata terhadap semua. Prinsip akan hilang kewibawaannya jika hanya dikuatkuasakan secara terpilih.
“Sikap tidak konsisten akan menjejaskan keyakinan terhadap asas sistem antarabangsa,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI : Strategies for Malaysia and ASEAN in an Era of Global Instabilit.
Majlis itu turut dihadiri Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof Dr Jeffrey D. Sachs.
Dalam pada itu, Anwar mengecam keras serangan Israel didukung Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
“Serangan peluru berpandu telah mengorbankan kanak-kanak sekolah semasa mereka mengikuti pembelajaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata konflik di Asia Barat itu dibimbangi terus memberi impak terhadap ekonomi seluruh dunia.
“Sejarah mengingkatkan kita bahawa ketidakstabilan di rantau ini jarang kekal terbatas dalam sempadannya.
“Ketegangan yang meningkat telah menyebabkan gangguan besar-besaran dalam pasaran tenaga global,” katanya.
Anwar berkata kerajaan Malaysia meneliti kesan konflik itu terhadap negara melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan hari ini.
“Kita (Malaysia) sudah tentu perlu meneliti beberapa isu penting kerana perang ini mempunyai kesan ke atas seluruh dunia dan memberi impak kepada kita di Malaysia,” katanya.